Salam Warga UMS,
Pilihanraya Umum ke-12 sudah berlalu tetapi bahangnya masih dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Perubahan merupakan sesuatu yang seringkali membawa natijahnya sendiri dan sudah menjadi lumrah satu jangkamasa peralihan akan berlaku di mana ianya membuatkan pihak-pihak yang tidak bersedia merasa gelisah dan kurang senang.
Keputusan baru-baru ini seringkali diibaratkan sebagai tsunami tetapi di Sabah ianya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Betulkah?
Jika dilihat dengan lebih teliti, meskipun secara beransur-ansur, ternyata perubahan mula berlaku. Pemimpin Sabah kian lantang menyuarakan pendapat kerana sudah tidak dinafikan negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang nyata merupakan faktor penting dalam pilihanraya umum ini. Adakah ini akan bererti negeri Sabah bakal menunjukkan potensi yang sudah sekian lama tidak mampu ditonjolkan?
Dari sudut seorang mahasiswa pula, terutamanya warga UMS, ternyata perubahan dapat dirasai apabila kita bakal mempunyai Naib Canselor yang baru sebelum bermulanya sesi akademik yang akan datang ini, di mana anak peribumi Sabah sendiri diberikan peluang untuk meneraju institusi yang sangat penting ini. Kepada mantan VC penulis mengucapkan terima kasih atas semua sumbangan yang diberi. Kepada VC kita yang baru, penulis mengucapkan tahniah dan semoga tanggungjawab yang diberikan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Perubahan juga bakal berlaku di peringkat gerakan mahasiswa dengan janji Menteri Pengajian Tinggi untuk memindahkan AUKU dan ditegaskan lagi semasa Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan pada Mei baru-baru ini. Persoalannya, adakah mahasiswa kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih tinggi? "With great power comes great responsibilty". Kata-kata yang cukup bermakna (siapa yang tahu sebenarnya ia dipetik daripada komik Spiderman).
Walaubagaimanapun rakan-rakan dengan perubahan juga bererti kita juga perlu mengadaptasi dengan suasana. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang ayam berkokok. Pintu-pintu peluang terbuka luas dan tiada masa yang lebih sesuai untuk kita bergerak ke hadapan daripada sekarang.
Monday, June 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment